Soalan:
Saya mudah kecewa. Apabila saya doa, saya rasa doa saya Allah tidak
akan terima. Saya dah minta doa macam-macam, tapi banyak benda yang
minta itu tak berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang sehingga saya
rasa macam tidak larat hendak berdoa. Tolonglah saya Dr!
Wardini, Kuala Kangsar.
Jawapan Dr MAZA:
Saudari, semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan saudari itu, saya nyatakan seperti berikut:
1.
Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung
dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia
dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan
dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.
Ramai
orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu
jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa
diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah memerintahkan:
(maksudnya)
“Berdoalah
kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang
perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).
Jika
kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk
dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.
2.
Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima
doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin
Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa
kepadaNya. Firman Allah:
(maksudnya):
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka
(beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu.
Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu),
dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk
(Surah al-Baqarah, 186).
FirmanNya juga: (maksudnya)
“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).
Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.
3.
Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan
bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk
ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda
Nabi s.a.w:
“Berdoalah
kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya.
Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang
lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
4.
Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu
diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas
hikmah yang Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya
akan tersingkap hikmah tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila
tiba waktu doa itu ditunaikan Allah, baru kita akan merasa betapa
beruntungnya kemustajaban itu hadir pada waktu tersebut. Maka jangan
putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :
«
Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia
tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim,
selagi dia tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu
tergopoh-gapah ? ». Sabda baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun
berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun
dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa
» (Riwayat Muslim).
5.
Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba
itu juga berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba
yang berdoa itu, tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik
untuknya. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar
atas andaian dengan kekayaan itu maka dia akan bahagia.
Namun
Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana kekayaan besar
boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah mungkin
menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi,
kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia.
Kesemua itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan
kebahagiaan di akhirat.
Maka
insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima,
sebaliknya hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia
Allah yang ada di sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam
berbagai bentuk. Sehingga ada yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu
ke hari akhirat, kerana Allah mengetahui bahawa di saat itu insan
tersebut lebih memerlukan apa yang diminta tersebut. Sabda Nabi s.a.w :
«
“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya
dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan
kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan kemakbulan,
atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan
keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu
Ya’la dengan sanad yang sahih).
6.
Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba
Allah kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain
Allah, sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah
dianggap sebagai syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah.
Ertinya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya
sedang beribadah selama sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti
dia beribadah sepanjang malam. Sabda Nabi s.a.w :
“Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Adapun berdoa selain Allah pula adalah syirik dan memusuhi penyerunya pada hari Kiamat kelak. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan
tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak
dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka
(makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari
permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari
akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang
yang menyembahnya) dan membantah mereka” (Surah al-Ahqaf, 5-6).
7.
Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang
kita rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada
masa yang lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila
berubah masa dan keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi,
apa yang sedang dan telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai
sesuatu keadaan. Sehingga kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang
Allah mengetahui ia tidak baik untuk kita. Allah menggantikan dengan
perkara lain, kita mungkin tidak perasan atau sedar.
Seseorang
mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah mustajabkan, tetapi
dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai harapannya.
Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan terus
menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.
8.
Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat
seseorang di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam
detik menunggu kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh,
tunduk, tawaduk dan membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai
berbagai hikmah dalam kehidupan muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak
dibandingkan dengan akhirat. Doa merupakan amalan yang membawa
kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban doa dengan iman dan
penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak insan kembali
menemui jalan Allah yang hakiki.
9.
Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah
berikan kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini,
mungkin kemanisan hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan
hari esok. Maka, sentiasa bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa
berdoa kepadaNya
No comments:
Post a Comment